Tuesday, May 26, 2009

Oleh kerana Hari Guru pada tahun ini jatuh pada hari Sabtu, maka kebanyakan daripada sekolah telah mengadakan sambutan perayaan hari guru di peringkat sekolah pada hari Isnin. Begitu jugalah dengan sekolah saya, sambutan telah diadakan pada hari ini, iaitu 18 Mei, 2009. Tema pada tahun ini yang mana sambutan peringkat kebangsaannya telah diadakan di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu adalah "Guru Pembina Negara Bangsa". Seperti biasa, pada awal pagi semua pelajar dan guru-guru akan berhimpun di tapak perhimpunan sekolah. Pada tahun ini, kami berkumpul di dewan sekolah sahaja kerana tapak perhimpunan sekolah tidak lagi boleh digunakan buat sementara waktu sehingga kerja-kerja pembinaaan bangunan baru setinggi empat tingkat tamat. Setelah lagu Negaraku, Lagu negeri Pahang dan Lagu Sekolah dinyanyikan oleh murid-murid, pembacaan perutusan telah disempurnakan oleh GPK 1 dan Guru Besar. Setelah itu, guru-guru pula menyanyikan lagu Guru Malaysia dan juga Warisan. Walaupun keadaan padang sedikit lembab akibat hujan di sebelah malamnya, acara sukaneka guru tetap juga dijalankan. Kemudiannya diikuti pula dengan acara persembahan murid untuk guru yang diadakan di Dewan Sekolah. Penutupan majlis berakhir dengan jamuan makan tengahari, sekali dengan jamuan perpisahan bekas guru besar sekolah ini yang bertukar pada bulan Januari lalu iaitu Encik Khairudin Bin Othman.

No comments:

Post a Comment